Batu Caves. Foto Wikipedia
PBTSELANGOR

MPS lancar buku panduan Batu Caves

SHAH ALAM, 28 SEPT: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) melancarkan buku bertajuk Batu Caves yang akan diserahkan kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai rujukan.

Menurut laporan Sinar Harian, buku setebal 116 muka surat itu mengandungi penerangan dan maklumat saintifik kepelbagaian biodiversiti serta spesis flora dan fauna di kawasan tersebut.

“Saya berharap buku ini dapat dijadikan bahan rujukan yang berguna kepada semua lapisan masyarakat,” kata Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor ketika merasmikan Program Simposium Ekspedisi Saintifik Batu Caves PPAS Daerah Gombak, kelmarin.

Buku tersebut hasil kajian dan tulisan ahli Persatuan Pemuliharaan Gua dan Kars Malaysia diketuai Dr Ruth Kiew, Dr Ros Fatihah dan Dr Atiqah.

Sementara itu, Shamsul Shahril berkata simposium berkenaan memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung fungsi biodiversiti batu kapur di Batu Caves.

Beliau berkata ia juga menyuntik kesedaran memelihara dan memulihara nilai sejarah serta budaya di kawasan tersebut untuk generasi akan datang.

“Simposium ini turut memberi penumpuan kepada kepentingan keselamatan dan keperluan untuk zon mampan,” katanya menambah MPS sedang merangka Pelan Pengurusan Gua di bawah Program Pemurnian Pelancongan Selangor.


Pengarang :