Selangorkini
AGENDA NASIONAL

Premis makan, kedai serbaneka di KL boleh operasi hingga 2 pagi

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersetuju membenarkan premis makan dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur beroperasi hingga pukul 2.00 pagi mulai esok.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu selari dengan keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

“Saya berbincang dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham A Dahlan sebentar tadi kerana MKN sudah memberi kelonggaran itu.

“… peniaga telah kerugian banyak, kalau dia (perniagaan) tidak mengancam keselamatan sebagaimana yang dinilai oleh MKN, saya bersetuju supaya pihak DBKL membenarkan, buka sampai pukul 2.00 pagi. Tetapi SOP mesti dipatuhi sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini, hari ini.

Semalam, DBKL memaklumkan waktu operasi premis perniagaan di Kuala Lumpur masih kekal sehingga jam 12 tengah malam sepanjang tempoh Perintah Kawasan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pengurusan Krisis Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (CMCWPKL), semalam.

Terdahulu pada 10 September lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan waktu operasi premis perniagaan seperti kedai makan dan kedai serbaneka dilanjutkan sehingga jam 2 pagi berbanding 12 tengah malam yang ditetapkan sebelum ini.

-BERNAMA


Pengarang :