Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Rohaizat Yon (depan tengah) dan Timbalan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor, Dato’ Dr Aizuddin Ahmad (depan kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan Mat Yusop (depan kiri) bersama wakil hospital yang menerima sumbangan sempena Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) Lembaga Zakat Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Shah Alam pada 14 September 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDAAGENSINASIONALSELANGOR

Sumbangan LZS ringankan beban pesakit hospital

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merakamkan penghargaan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kerana menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Pesakit Hospital pada setiap tahun.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon berkata sumbangan tersebut membantu pesakit kurang berkemampuan membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan, pembelian peralatan pemulihan dan ubat.

“Pesakit paling banyak membuat permohonan bantuan terdiri penghidap penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis, jantung, buah pinggang dan pesakit lumpuh yang memerlukan kerusi roda.

“Tabung ini juga membantu pesakit membeli susu khas dan lampin pakai buang, jadi kita harap lebih banyak pihak mencontohi LZS,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital oleh LZS di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sejumlah RM1.77 juta disalurkan LZS kepada 17 hospital, pusat perubatan dan institut kesihatan menerusi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia.

LZS menyalurkan sumbangan sejak 2008 bertujuan meringankan beban pesakit kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Dalam perkembangan sama beliau berkata LZS turut menyalurkan bantuan sejumlah RM725,480 bagi membeli kelengkapan pakaian perlindungan diri (PPE), ventilator dan khemah bagi kemudahan petugas kesihatan melakukan saringan Covid-19.


Pengarang :