Ahli Dewan Negeri Taman Templer Mohd Sany Hamzan.
ADNSELANGOR

Pusat IT Taman Templer mudahkan pelajar IPT belajar dalam talian

SHAH ALAM, 26 OKT: Sebuah pusat teknologi maklumat (IT) disediakan bagi kemudahan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terkesan susulan pandemik Covid-19, kata Ahli Dewan Negeri Taman Templer.

Mohd Sany Hamzan berkata kemudahan di pusat khidmat masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negerinya yang mula dibuka esok dilengkapi enam komputer riba dan capaian internet berkelajuan tinggi untuk sesi pembelajaran secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami memperuntukkan RM10,000 untuk segala kemudahan ini setelah menyedari ramai ibu bapa tidak mampu menyediakan bagi pembelajaran anak-anak di rumah.

“Walaupun permulaan ini kuantiti komputer riba tidak banyak tetapi kami percaya dapat dimanfaat sepenuhnya oleh pelajar dan berusaha menambahnya serta mencari tempat sesuai lebih besar jika sambutan menggalakkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata inisiatif itu mendekatkan golongan belia dengan pusat khidmat berkenaan dan mengetahui fungsinya dalam memberikan perkhidmatan terhadap rakyat.

“Sebelum ini ramai ibu bapa dan warga emas yang berkunjung ke PKM, disebabkan itu kita mahu mereka (anak muda) datang dan menggunakan segala kemudahan disediakan,” katanya.

Pusat IT tersebut beroperasi dari 9 pagi hingga 5 petang dan pelajar perlu membuat tempahan dengan menghubungi pejabat PKM di talian 03-61271831.


Pengarang :