BUDAYARENCANA

Yang Ditunggu

Oleh Abdullah Hussaini

MUKA dia macam Baifern Pimchanok. Itulah yang terbunga di mulut apabila melihat dia kali pertama di depanku. Dia tidak jauh, kira-kira tiga meter di hadapan sana, mengirai sedikit rambutnya ke belakang, membetulkan skirt panjangnya yang terbelah dan dengan berhati-hati melabuhkan punggung. Kemudian dia mencapai surat khabar yang hampir renyuk di atas meja kopi lalu menyelak ke halaman tengah. Apabila dia mengalihkan sedikit kepala, ada kemilau cahaya di hujung cuping telinganya. Subang – entah jenama apa, terpasang molek, padan dengan orangnya. Lama aku perhati sebelum dia meletakkan surat khabar itu dan keluar tanpa berpaling ke arah lain pun.

Dia memang macam Baifern Pimchanok. Atau entah-entah itu memang dia? Sebijik. Aku tahu Baifern sebab Aman selalu tonton drama Thailand. Jadi secara tak langsung aku terlayan sama. Aku ingat tajuknya, Bai Mai Ti Plaed Plew. Cerita tentang apa, tak ingat pula.Tapi ada adegan tangis-menangis, gaduh-gaduh dan tarik rambut. Baifern sangat cemerlang dalam drama itu. Lakonannya hidup. Kalau dia menangis, dia menangis teresak-esak mengalirkan air mata asli. Kalau dia menjerit marah, aku pun terkejut sama. Hidungnya macam hidung kancil. Dan tajam dagunya mengingatkan aku kepada Zura Anwar, seorang novelis dari Sabah.

Keesokan harinya, Baifern datang lagi. Dan mengapa dia selalu datang ketika hari hampir-hampir petang? Mungkin dia sibuk sepanjang hari. Kali ini dia pakai kemeja-t warna putih krim yang dibaluti jaket kulit coklat gelap, jeans skinny dan loafer. Seperti semalam, rambutnya dibiar melepasi sedikit paras bahu. Dia mengeluarkan telefon bimbit sebelum menatal entah apa. Agak lama matanya terpaku pada skrin. Kemudian dia bangun menuju ke arah Aman, yang aku nampak dah tak tentu arah – gelabah nampak perempuan cantik. Dia berkata-kata sesuatu. Aku ketika itu cakap, “kenapa pergi kepada Aman? Kenapa? Dia bukan tahu apa! Dia pemalas! Tak ada kesedaran diri! Tak miliki apa-apa selain motosikal cabuk yang susah nak dihidupkan!” Tetapi dia terus bercakap, mesra sekali sebelum Aman tergopoh-gapah mengeluarkan sekeping kad dan menghulurkan sebatang pen kepada Baifern. Selepas menulis sesuatu, dia meninggalkan kami.

Baifern datang setiap hari. Dia memang akan duduk di depanku, menekup kedua-dua belah telinganya dengan fon telinga sambil tekun membaca surat khabar. Aku sudah kenal gaya badan dan semua pergerakannya. Apa yang dia buat dan akan buat. Lenggok suara, anggukan kepala, uraian rambut, renungan dan kerlingan. Sudah kukenali semua itu. Pada jam berapa dia akan bangun ke tandas. Pada saat bila dia akan mematikan telefon bimbitnya yang tiba-tiba berdering. Suaranya sudah tentu, dan harum pewanginya? Ahh, sentiasa berbeza setiap kali dan menyegarkan ruang lesu ini. Setelah hampir sebulan, aku cukup pasti, aku jatuh cinta padanya. Bak kata Win Metawin dalam satu drama, “aku boleh kawal perbuatan aku, tetapi perasaan ini, perasaan ini, telah menakluk hatiku!”

“Aku tahu, kau fikir kau akan memilikinya. Tapi kau harus sedar diri. Siapa yang nakkan kau, si buruk rupa?” tegur Rentong. Aku berpaling dan melihat sengihan mengejek pada mukanya. Rentong ini sudah tua kerepot. Dia tidak dipedulikan orang. Bila kali terakhir perempuan menyentuhnya? Tidak relevan dengan zaman sekarang.

“Sekurang-kurangnya masih ada tua kerepot yang menyebut namaku,” tambahnya lagi seolah-olah mengetahui isi hatiku. Ini kelebihan Rentong. Dia pandai membaca isi hati aku. Aku masamkan wajah, kemudian hembus nafas ke mukanya. Dia terundur ke belakang, mengesat mata dan kemudian terbatuk. Macam ada debu di sekitarnya. Dia menggeleng-geleng. Zamanmu sudah berlalu, terimalah kenyataan, katanya lagi. Pedih dan menusuk hati. Tapi aku mengunci mulut. Tak kuasa nak melayan.

Cukup melemaskan melihat Aman yang tergedik-gedik apabila Baifern datang. Sekejap-sekejap ada saja benda yang dia nak katakan. Kalau duduk di meja, dia akan mengintai dari jauh dan apabila Baifern sedar dan mengerling, cepat-cepat dia menunduk. Kadang-kadang dia akan senyap-senyap mengambil gambar dari jauh. Jahat sungguh! Kemudian dia memulakan langkahnya. Aman tiba-tiba saja jadi rajin. Tempat yang selama ini kusam dan lesu, diceriakannya dengan cat baru dan susunan meja serta kerusi yang berbeza. Lantai dan dinding yang selama ini bersawang dia bersihkan. Segalanya menjadi berkilat. Tingkap kaca dicuci. Bunga-bunga ditanam di luar. Lebih membuat aku meluat; dia tiba-tiba melaram dengan pakaian baru serta mencalit pewangi di bawah telinga dan dadanya. Huh! Tetapi syukurlah, Baifern-ku tidak mengambil perhatian kepada lelaki itu.

Akhirnya, pada suatu hari, Baifern datang ke arahku. Aku cukup yakin dan teruja aku akan memilikinya, sementara Rentong terkekeh-kekeh di sisi. Nampaknya benarlah telahan Rentong, ketika sudah hampir, Baifern melencong, memilih laki-laki yang lebih putih dan jambu. Jahanam. Mengapa kauremukkan hati aku, Baifern? Aku benar-benar patah hati dan tak percaya kepada cinta lagi. Aku merajuk. Aku tak perhatikan lagi Baifern. Apabila dia muncul, aku tutup mata. Biarlah Aman saja yang mengorat. Biarlah Rentong dengan ketawa ejekannya. Biarlah aku mati saja.

Aku terasa wajahku disapu-sapu. Aku membuka mata, dan di depan, kulihat wajah Baifern dengan cahaya matanya berpencar-pencar. Apabila kuturunkan lagi pandangan, baru ternampak kad pengenalan dirinya yang tergantung – Charlotte Wong. Dia mendekatkan lagi wajahku ke matanya dan menyebut perlahan namaku, ‘Pengintip Wanita Yahudi’, kemudian dia keluarkan telefon bimbit dan ambil gambarku dan letakkan semula ke tempat asal. Sebelum beredar dia berkata, “kau mengintip aku selama ini?” Sejak daripada kejadian itu aku tak pernah lagi nampak kelibatnya.


Pengarang :