Peserta membawa dokumen diperlukan ketika mengikuti program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah Selangor Bekerja, harapan baharu buat penganggur

GOMBAK, 22 NOV: Program Jelajah Selangor Bekerja 2020 memberi sinar baharu buat Juliana Mohd Janurudin mencari peluang sesuai selepas menganggur hampir dua tahun.

Pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) dari United Kingdom itu mengakui sukar mendapat kerja berikutan situasi ekonomi tidak menentu disebabkan penularan Covid-19.

Pernah berkhidmat sebagai jurutera semi konduktor di sebuah kilang selama lima tahun, wanita berusia 39 tahun itu terpaksa melupakan hasrat bekerja semula selepas disahkan hamil.

“Saya pulang ke Malaysia pada 2018 ketika ekonomi sedang gawat dan ketika itu pula mengandung.

Juliana Mohd Janurudin, 39, ditemui Media Selangor selepas sesi temu duga ketika program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Keadaan itu membataskan peluang saya untuk kembali bekerja dalam bidang sama berkaitan kimia kerana berisiko,” katanya ditemui di Dewan Majlis Perbandaran Selayang, Taman Gombak semalam.

Juliana yang ditemani suaminya Syed Mohd Nooh Syed Omar, 39, mengakui situasi getir ketika ini turut membataskan majikan menawarkan gaji setaraf kelulusan pemohon.

Bagi Hasnol Syazwan Hanafi, 26, walaupun minatnya ke arah seni dan reka bentuk, namun dia bersedia menceburi bidang lain sesuai dengan pengalaman kerja sebagai eksekutif pemasaran sebelum ini.

Dia menyifatkan pengalaman temu duga secara maya sebagai peluang menarik dan berharap program itu diteruskan bagi membantu individu terkesan.

Fatin Alya Mohamad Azman pula pertama kali menyertai sesi temu duga selepas menamatkan pengajian dalam bidang keusahawanan pada Julai.

“Menerusi program ini, pemohon dapat merasai pengalaman temu duga secara berdepan dan maya seiring norma baharu serta mengenali sesuatu syarikat dengan lebih baik,” kata gadis berusia 24 tahun itu.

Shahilah Shahbuddin, 24, ditemui Media Selangor selepas sesi temu duga ketika program Jelajah Selangor Bekerja 2020 di Taman Gombak, Batu Caves pada 21 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Pembinaan Shahilah Shahbuddin berkata sesi temu duga secara maya memberi pengalaman menarik buat dirinya.

Pernah bekerja dalam bidang pengangkutan sebelum diberi cuti tanpa gaji susulan Covid-19, gadis berusia 24 tahun itu kini menjual makanan bagi menampung perbelanjaan harian.

Jelajah Selangor Bekerja 2020 diteruskan hari ini di Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor, Saujana Utama dan akan berlangsung di beberapa lokasi lain sehingga Disember.


Pengarang :