Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau persekitaran Loji Rawatan Air Langat 2 sambil diberi taklimat oleh pegawai Pengurusan Aset Air Berhad pada 22 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

LRA Langat 2 siap sepenuhnya 31 Disember 2023

SHAH ALAM, 6 NOV: Keseluruhan projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 dijadual siap sepenuhnya pada 31 Disember 2023 dengan kos RM2.38 bilion.

EXCO alam sekitar dan teknologi hijau berkata projek dibangunkan Pengurusan Aset Air Berhad termasuk pembinaan kolam perkhidmatan dan sistem agihan bekalan air.

Hee Loy Sian berkata loji berkapasiti 1,130 juta liter sehari (JLH) itu mula beroperasi pada 21 Disember 2019 dengan kapasiti 565 JLH bagi Stream B.

Hee Loy Sian pada sesi soal sempena sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 6 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Stream A yang berkapasiti 565 JLH pula selesai pentauliahan dan diserahkan kepada Pengurusan Air Selangor Berhad pada 30 Oktober lalu.

“Bagaimanapun, oleh kerana jaringan paip agihan air bersih belum siap, kapasiti penuh LRA ini tidak dapat digunakan sepenuhnya dan hanya mampu membekalkan 430 JLH kepada pengguna,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Semenyih Zakaria Hanafi pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Loy Sian menambah air bersih dari LRA tersebut dibekalkan ke wilayah Hulu Langat, Petaling dan Kuala Lumpur.

LRA Langat 2 dibina pada 2014 bagi memenuhi permintaan tinggi penduduk Lembah Klang berikutan pertumbuhan pesat dan mengelak krisis air.


Pengarang :