Bakat Luqman Hakim Shamsuddin dikesan dari Akademik Mokhtar Dahari (AMD) dan pernah mewakili Selangor kini mengikat kontrak dengan kelab Belgium, KV Kortrijk.
AGENDANASIONAL

Selangor, JDT terus manfaat bakat Akademik Mokhtar Dahari

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Pelatih Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) masih menjadi pilihan pasukan terbaik di negara ini apabila 12 pelatihnya telah menandatangani kontrak dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor, baru-baru ini.

Menurut sumber, pemain daripada lebih 40 pelatih generasi kedua AMD itu ditawarkan kontrak antara dua dan tiga tahun serta sering mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

Dua pelatih dianggap bakat terbaik generasi kedua AMD itu – pemain tengah Ziad El Basheer Norhisham menandatangani perjanjian bersama JDT, sementara pemain pertahanan Muhammad Faiz Amer Runnizar memilih skuad Gergasi Merah sebagai destinasi pilihan.

Mengikut langkah Ziad El Basheer ke JDT adalah penyerang Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal yang bergandingan bersama bintang muda negara Luqman Hakim Shamsuddin di posisi serangan skuad Bawah 16 Tahun (B-16) negara pada Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018.

“Ziad El Basheer dan Muhammad Faiz boleh dianggap bakat terbaik dalam kalangan pemain ketika ini, bagaimanapun, Muhammad Najmudin juga sepatutnya merupakan pemain terbaik tetapi disebabkan mengalami kecederaan lutut yang serius tahun lepas, dia terpaksa berehat panjang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Muhammad Najmudin bersama seorang lagi pelatih generasi kedua AMD Muhammad Syukur Fariz Januri merupakan dua pemain dalam kesebelasan utama skuad B-16 Malaysia yang menewaskan Tajikistan 6-2 pada aksi kumpulan Kejuaraan B-16 AFC.

Pada masa sama, hampir kesemua 12 pelatih yang berpangkalan di Gambang, Kuantan itu adalah antara 18 pemain skuad B-17 negara yang beraksi pada kejohanan Piala Jenesys 2020 di Kagoshima, Jepun, Mac lalu.

Perkembangan terbaru itu membuktikan produk AMD di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara masih memberi impak yang besar dan sering mendapat perhatian pasukan gergasi bola sepak negara, JDT dan Selangor, yang seakan menjadi pelanggan setia mereka.

Kedua-dua pasukan itu juga ‘memborong’ kesemua 34 pelatih generasi pertama tahun lalu dengan 28 daripadanya mengikat kontrak bersama Selangor.

Selain itu, peminat bola sepak negara juga sedang menanti siapakah dalam kalangan 12 pemain generasi kedua AMD itu yang mampu mengikuti jejak langkah Luqman Hakim yang berkelana ke Eropah selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama kelab profesional Belgium, KV Kortrijk.

– BERNAMA


Pengarang :