Gambar hiasan projek terbengkalai. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor selamatkan 104 projek terbengkalai sejak 2008

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri berjaya menyelamatkan 104 projek terbengkalai antara 2008 hingga Oktober tahun ini.

EXCO perumahan berkata ia meliputi 35,776 projek perumahan, komersial dan industri.

Rodziah Ismail memaklumkan beberapa langkah proaktif turut dilaksana bagi membantu pembeli.

“Langkah meliputi penubuhan Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai bagi berbincang dengan semua pihak usaha memulihkan projek.

“Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula memantau pemulihan projek di peringkat PBT,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat menstruktur semula bayaran bulanan dengan bank.

Rodziah berkata agensi itu juga akan mencadangkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan hak pembeli terjamin.

“Tindakan perampasan tanah boleh dibuat jika wujud pelanggaran peruntukan mengikut Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 seperti kegagalan membayar cukai dan pelanggaran syarat menurut Seksyen 129 kanun yang sama,” katanya lagi.


Pengarang :