Kementerian Kesihatan Arab Saudi menyediakan kemudahan enam hospital, 51 klinik, 200 ambulans, 62 pasukan sepanjang ibadah haji.
AGENDAGLOBAL

Umrah fasa ketiga: Arab Saudi sambut jemaah Pakistan, Indonesia

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Arab Saudi pada Ahad menyambut kumpulan pertama jemaah umrah warga asing dari Pakistan dan Indonesia selepas menggantung visa ibadah itu pada Februari lalu akibat penularan virus Covid-19 di seluruh dunia.

Menurut Kesatuan Agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam OIC (UNA) dalam satu laporan berkata kumpulan tersebut yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, disambut Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Taher Benten bersama timbalannya Dr Abdulfattah Suliman Mashat dan pengarah lapangan terbang itu, Issam Nour.

Ketibaan jemaah berkenaan merupakan fasa ketiga kebenaran menunaikan umrah serta ziarah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menetapkan setiap jemaah warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama tiga hari di hotel tertentu sebelum dibenarkan melaksanakan ibadah umrah.

“Selain itu, kementerian turut menetapkan tatacara operasi piawai (SOP) yang dipersetujui Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk syarikat dan perkhidmatan umrah bagi memastikan tindakan pencegahan virus Covid-19 dapat dilakukan,” kata laporan itu.

Berdasarkan rancangan strategik yang disusun Kerajaan Arab Saudi, fasa ketiga itu dijangka menyaksikan kemasukan 20,000 jemaah umrah, 60,000 jemaah menunaikan solat di Masjidil dan Masjid Nabawi dengan 19,500 pengunjung setiap hari.

Pada 23 September lepas, Arab Saudi mengumumkan empat fasa secara berperingkat bagi menerima semula kemasukan jemaah umrah dengan perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa tempatan negara itu.

Fasa pertama bermula 4 Oktober lepas, membenarkan rakyat Arab Saudi dan penduduk di negara itu menunaikan umrah dengan 6,000 jemaah setiap hari, diikuti fasa kedua dalam kategori jemaah yang sama, ditingkatkan kepada 15,000 jemaah sehari.

Sementara fasa keempat, Arab Saudi akan membenarkan semua kategori jemaah menunaikan umrah dengan kapasiti 100 peratus daripada keluasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berdasarkan SOP ditetapkan.

-BERNAMA


Pengarang :