Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.
AGENDANASIONAL

Unjuran pertumbuhan 2021 kekal di landasan – gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Trajektori pertumbuhan negara untuk 2021 kekal di landasannya dalam persekitaran petunjuk yang positif dalam ekonomi walaupun terdapat peningkatan semula virus dan pelaksanaan langkah untuk membendungnya, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga jauh lebih baik daripada unjuran konsensus dan akan menempatkan kita di landasan trajektori pertumbuhan,” katanya.

Ekonomi Malaysia menyaksikan penguncupan/pertumbuhan sebanyak -2.7 peratus pada suku ketiga, meningkat daripada -17.1 peratus dicatatkan pada suku kedua berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Petunjuk menunjukkan aktiviti ekonomi domestik yang asas berada di landasan pemulihan daripada tempoh yang sukar pada April, katanya pada taklimat editor kanan pada Khamis.

Antara lain, Indeks Pengurus Pembelian (PMI), Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia untuk kaunter berkaitan pembinaan, jualan kenderaan komersial dan perbelanjaan kad kredit, masing-masing kekal di landasan pengembangan.

Nor Shamsiah berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini lebih bersasar dan mempunyai mobiliti yang lebih baik berbanding sebelum ini pada Mei-Jun, justeru, impaknya tidak seteruk sebelum ini.

Setakat ini, katanya, perbelanjaan pengguna adalah baik.

Beliau berkata pertumbuhan positif semasa PKPB adalah disebabkan jumlah peniaga menggunakan terminal tanpa tunai meningkat, peningkatan perbelanjaan tanpa tunai dan perbelanjaan pengguna yang meningkat semula berikutan keadaan pasaran buruh yang lebih baik.

Mengenai prospek bagi 2020, katanya: “Kami mengambil kira kemungkinan peningkatan semula virus dan pelaksanaan langkah-langkah untuk membendungnya. Oleh itu, prospek pertumbuhan untuk tahun tersebut kekal antara -5.5 hingga -3.5 dan pertumbuhan dijangka rendah daripada julat kami.”

Perjuangan menentang pandemik adalah berterusan, katanya, sambil menambah risiko peningkatan semula dijangka terus berkembang.

“Kita akan menyaksikan langkah-langkah pembendungan bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di mana-mana. Bagaimanapun, apa yang kita lihat ialah negara dan pakar-pakar perubatan memahaminya dengan lebih baik dengan tatacara operasi piawai dan pengesanan kontak (dilakukan),” katanya, dan Malaysia pada masa ini sedang memerangi gelombang ketiga Covid-19.

Isi rumah dan perniagaan turut dapat menyesuaikan dengan lebih cepat kepada sekatan mobiliti baru-baru ini, katanya.

Dasar monetari yang akomodatif, bantuan yang berterusan kepada segmen yang mudah terjejas dan pemindahan tunai kepada isi rumah yang terjejas dapat menyokong ekonomi, katanya.

“Apa yang lebih penting ialah trajektori pertumbuhan yang telah diumumkan hingga 2021 kekal di landasannya. Kita akan menyaksikan peningkatan semula pertumbuhan pada tahun depan,” katanya.

BNM sebelum ini mengunjurkan pertumbuhan sebanyak 5.5 peratus hingga 8.0 peratus pada 2021, manakala Kementerian Kewangan (MoF), dalam Prospek Ekonominya yang terkini, menilai ekonomi akan berkembang antara 6.5 peratus hingga 7.5 peratus pada tahun depan.

Beliau berkata prospek yang lebih baik oleh MoF itu berdasarkan sektor eksport berikutan data terkininya lebih baik daripada jangkaan.

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan eksport Malaysia meningkat 13.6 peratus kepada RM88.9 bilion pada September berbanding tahun lepas, peningkatan tahun ke tahun yang terbesar dalam tempoh hampir dua tahun.

Ia merupakan nilai eksport Malaysia yang tertinggi pernah dicatatkan untuk bulan September, katanya.

“IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) sendiri menyemak semula unjuran pertumbuhan untuk tahun ini dan yang lebih penting, pertumbuhan dengan rakan dagang kita turut meningkat.”

Bulan lepas, IMF berkata pertumbuhan global diunjurkan pada -4.4 peratus pada 2020, semakan semula sebanyak 0.8 peratus berbanding unjuran pada Jun berikutan aktiviti mula bertambah baik, terutamanya di negara maju.

Selain itu, Nor Shamsiah berkata kemajuan yang berterusan mengenai projek infrastruktur juga menyokong pertumbuhan.

Beliau berkata peluasan Westport Terminal bernilai RM10 bilion, Lebuhraya Pantai Barat dengan kos RM5 bilion dan projek pembangunan bercampur bernilai RM9 bilion di Bukit Bintang merupakan sebahagian daripada projek yang belum diambil kira.

“Sebahagian daripada projek pelaburan awam masih berjalan. Belanjawan 2021 menyaksikan penekanan diberikan kepada Jendela (Inisiatif Jalinan Digital Negara),” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk melaksanakan Jendela bagi memastikan hubungan 430 sekolah di seluruh Malaysia, meliputi semua negeri.

Pada masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperuntukkan RM7.4 bilion untuk 2021 dan 2022 bagi membina dan menaik taraf perkhidmatan jalur lebar.

Selain itu, pakej rangsangan Kita Prihatin bernilai RM10 bilion dan bantuan pembayaran balik bersasar akan turut menyokong penggunaan awam.

Dari segi penawaran dalam sektor pembuatan dan perlombongan, Nor Shamsiah berkata terdapat pengeluaran yang lebih tinggi daripada kemudahan sedia ada.

Mengenai masa depan, katanya negara perlu terus memberi tumpuan kepada isu utama yang akan membawa ekonomi ke hadapan seperti dasar untuk meningkatkan kapasiti produktif ekonomi dan dasar yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.

Risiko penurunan yang terbesar kekal mengenai peningkatan semula dan penularan virus, manakala risiko peningkatan ialah terdapatnya vaksin dan keberkesanannya, katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :