AGENSISELANGOR

Kerja pembaikan paip putus siap 54 peratus setakat 4 petang

SHAH ALAM, 30 DIS: Kerja pembaikan paip putus susulan tanah runtuh di Damansara Utama mencapai 54 peratus siap sehingga jam 4 petang.

Ketua komunikasi korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan kerja pembaikan dimulakan sejak 12.30 tengah malam tadi berjalan lancar.

Elina Baseri berkata pengalihan sementara paip bersaiz 1,000mm yang diletakkan atas bahu jalan Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) bagi memastikan agihan bekalan air kepada pengguna terjejas disegerakan.

“Aspek keselamatan pekerja sentiasa menjadi keutamaan Air Selangor untuk memastikan semua kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya dalam kenyataan.

Elina menambah bantuan bekalan air melalui lori tangki sedang digerakkan ke kawasan terlibat bagi membantu pengguna terjejas.

Menurutnya, pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air alternatif melalui tangki statik yang ditempatkan di dua Pusat Khidmat Setempat (PKS).

“Air Selangor menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan daripada lori tangki dan PKS disediakan,” katanya.

Untuk perkembangan kerja pembaikan, layari laman sesawang www.airselangor.com atau rujuk saluran komunikasi melalui Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi pusat perhubungan di talian 15300.


Pengarang :