Gegantung amaran zon merah Covid-19 yang dipasang di jalan raya di Kapar, Klang. Foto JKNS
AGENSISELANGOR

Kluster tempat kerja sumbang kes tertinggi di Klang

SHAH ALAM, 11 DIS: Klang kekal menjadi penyumbang kes baharu Covid-19 tertinggi negeri ini dengan 611 daripada 829 kes baharu dilaporkan hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata jumlah itu membabitkan 512 kes di mukim Kapar serta 99 di mukim Klang dengan kebanyakannya dari kluster tempat kerja seperti Sungai Putus, Teratai dan Seruling.

“Gombak merekodkan 93 kes diikuti Petaling (73), Kuala Langat (21), Hulu Langat (16), Kuala Selangor (sembilan), Sepang (lima) dan Sabak Bernam (satu).

“Keseluruhan kes hari ini sebanyak 829 termasuk lapan kes import iaitu tiga dari Indonesia, Filipina (2) manakala Netherlands, Sri Lanka dan United Kingdom masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya menerusi Facebook.

JKNS turut memaklumkan setakat 12 tengah hari tadi, seramai 263 pesakit disahkan sembuh dan dibenarkan keluar hospital.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan Selangor mencatatkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 45.8 peratus dari keseluruhan 1,810 kes dilaporkan.


Pengarang :