Petugas kesihatan meletakkan sampel saringan di panel khas ‘buffer tube’ selama 30 minit sebelum dimasukkan ke dalam mesin analisa Standard F200 SD Biosensor untuk mengesan jangkitan Covid-19 dengan cepat ketika program saringan dijalankan di Dewan Orang Ramai Meru 3, Klang pada 2 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR, 22 DIS: Sebanyak lapan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan hari ini oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di lima negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Perak dengan enam daripadanya melibatkan tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata di Selangor terdapat dua kluster baharu dikesan iaitu Kluster Pasar Baru melibatkan daerah Klang dan Kuala Langat dengan kes indeks telah dilaporkan positif pada 15 Disember melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 22 Disember, sejumlah 2,001 individu telah disaring, dengan 309 kes telah dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, satu lagi kluster di negeri itu ialah Kluster Bukit Naga melibatkan tempat kerja di Klang dengan kes indeks bagi kluster ini dilaporkan pada 13 Disember hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dan sehingga hari ini, sejumlah 190 individu telah disaring dengan 58 kes telah dikesan positif.

Beliau berkata di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula terdapat tiga kluster baharu dikesan yang kesemuanya melibatkan tempat kerja.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tapak Bina Residen dikesan di daerah Lembah Pantai dengan kes indeks dilaporkan positif bermula hari ini melalui saringan bersasar di tapak binaan dan sehingga kini, sejumlah 640 individu telah disaring dengan 294 kes telah dikesan positif.

“Kluster Tapak Bina Kasih pula melibatkan daerah Kepong dengan kes indeks positif Covid-19 dilaporkan pada 22 Disember melalui saringan bersasar di tapak binaan dan sehingga hari ini, sejumlah 392 individu disaring dengan 43 kes telah dikesan positif.

“Satu lagi kluster iaitu Kluster Tapak Bina Sinar View di daerah Kepong dengan kes indeks dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 22 Disember melalui saringan bersasar di tempat kerja. Sehingga 22 Disember, sejumlah 510 individu disaring dengan 32 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Beliau juga berkata di Sabah, Kluster Paginatan dikesan di daerah Ranau, Papar dan Kota Belud dengan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 15 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

Katanya sehingga hari ini, sejumlah 232 individu disaring dengan 47 kes dikesan positif.

Di Johor, Kluster Tampoi Jaya yang merupakan kluster tempat kerja dikesan melibatkan Johor Bahru dan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 17 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

“Sehingga 22 Disember, sejumlah 231 individu disaring dengan 32 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata satu kluster baharu yang dikesan di Kinta dan Perak Tengah melibatkan Kluster Rapat dengan kes indeks bagi kluster itu dilaporkan positif pada 16 Disember lepas melalui saringan individu bergejala.

Beliau berkata sejumlah 146 individu disaring dan tujuh kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

Katanya jumlah kluster yang telah tamat ialah 253 termasuk tiga yang tamat hari ini iaitu Kluster Summer, Kluster Kota Kecil dan Kluster Tenaga.

-BERNAMA


Pengarang :