AGENSI SELANGOR

Maqis patahkan cubaan bawa keluar durian Musang King ke Arab Saudi

PUTRAJAYA, 4 DIS: Cubaan seorang lelaki tempatan membawa 280 peket berisi durian musang king ke Riyadh, Arab Saudi menggunakan bagasi berjaya dihidu pihak berkuasa yang kemudian menahannya dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, tiga hari lepas.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor Dr Tarmisal Alimin berkata lelaki itu ditahan pada kira-kira 12.30 tengah hari Rabu dengan kerjasama polis bantuan Malaysia Airports.

“Pemeriksaan terhadap tujuh bagasinya menemukan peket-peket durian seberat 126 kilogram yang dianggarkan bernilai RM22,400. Buah durian tersebut dipercayai untuk dijual di Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya buah tersebut dirampas kerana tiada permit eksport dan sijil fitosanitasi yang sah, yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

Beliau berkata Maqis mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :