Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melancarkan aplikasi mudah alih myPTPTN.
AGENDANASIONAL

PTPTN sumbang lebih RM90,000 bantu pelajar asnaf di Selangor

SHAH ALAM, 29 DIS: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam menyumbang RM96,500 menerusi program ‘Kasihku Zakat Selangor’ untuk pembangunan pendidikan pelajar asnaf di Selangor.

LZS dan PTPTN dalam satu kenyataan bersama memaklumkan daripada jumlah sumbangan zakat itu, RM50,000 diperuntukkan untuk Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) manakala RM46,500 bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah.

Simbolik sumbangan dalam bentuk replika kad disampaikan oleh Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid kepada Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop dalam satu majlis ringkas.

Kesemua peruntukan itu akan diagihkan kepada setiap penerima dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

“Sebanyak 500 anak asnaf terdiri daripada 100 pelajar pra sekolah, 150 pelajar sekolah rendah dan 250 pelajar sekolah menengah bagi Program Pembangunan Pendidikan Asnaf (Fakir dan Miskin) akan menerima simpanan SSPN-i berjumlah RM100 setiap seorang.

“Manakala 155 pelajar bagi Program Pembangunan Pendidikan Pelajar Asnaf Bait Al-Hasanah pula akan menerima simpanan SSPN-i sebanyak RM300 setiap seorang,” menurut kenyataan itu.

Bait Al-Hasanah yang diperkenalkan LZS pada tahun 2007 membawa misi untuk membangunkan generasi kedua dalam kalangan asnaf fakir dan miskin bagi menjamin setiap kanak-kanak mendapat pendidikan berkualiti seterusnya membantu mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

Dalam kenyataan sama, Ahmad Dasuki berkata sebagai tabung pendidikan utama negara, PTPTN ingin memastikan seluruh rakyat Malaysia mendapat akses terbaik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

“Diharapkan sumbangan ini dapat menjadi pendorong kepada anak-anak asnaf belajar bersungguh-sungguh, berjaya dalam hidup sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan. Bantuan dalam bentuk akaun SSPN-i diberikan sebagai tabungan awal bagi tujuan pendidikan tinggi,” katanya.

Saipolyazan pula berkata sehingga bulan lepas, 30 syarikat menyertai program ‘Kasihku Zakat Selangor’ bagi menyantuni asnaf menerusi pakej bantuan pendidikan, modal, perubatan dan sosial.

“Dalam suasana impak pandemik Covid-19, LZS amat mengharapkan sumbangan berterusan daripada syarikat pengeluar zakat demi menyantuni kelangsungan kehidupan asnaf yang semakin meningkat jumlahnya,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :