Datuk Bandar Subang Jaya Noraini Roslan menjawab pertanyaan media selepas selesai Majlis Pembukaan Pusat Penjaja Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Sasar sifar penjaja tepi jalan, MBSJ gesa niaga di tapak tersedia

PUCHONG, 17 JAN: Penjaja di sekitar Jalan Taqwa di sini diharap menerima cadangan pemindahan ke Dataran Penjaja Puchong Permai, kata Datuk Bandar Subang Jaya.

Noraini Roslan berkata langkah tersebut seiring visi Subang Jaya ke arah bandar raya bebas penjaja tepi jalan seperti di kebanyakan negara maju.

“Justeru kita harap mereka menerima dengan terbuka perubahan ini. Gerai penjaja tidak teratur dan berdekatan dengan jalan raya menyebabkan kesesakan.

“Lokasi baharu disediakan mampu menempatkan lebih 60 penjaja selain lebih selesa, berbumbung serta strategik kerana terletak bersebelahan pasar tani,” katanya.

Dr Siti Mariah Mahmud meluangkan masa melawat gerai peniaga ketika Majlis Pembukaan Pusat Penjaja di Dataran Puchong Prima, Puchong pada 17 Januari 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang Dr Siti Mariah Mahmud pada Majlis Penyerahan Bantuan Gerai Mudah Alih di Dataran Penjaja Puchong Permai hari ini.

Sementara itu penjaja ditemui menyambut baik inisiatif Dr Siti Mariah dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk menyediakan tapak baharu yang luas dan selesa.

Peniaga nasi ayam, Osman Mahmud ketika ditemu bual SelangorKini. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Peniaga nasi ayam, Osman Mahmud, 67, berkata lokasi baharu lebih selamat kerana berbumbung serta tapak parkir yang luas memudahkan pengunjung.

Bagi peniaga lontong dan soto, Mohd Ahmad Tamrin, 52, dia bersyukur dengan bantuan tersebut serta berharap lebih ramai penjaja tepi jalan berpindah ke lokasi tersebut.

Pada 28 Disember tahun lalu, MBSJ merobohkan lima daripada 36 struktur tanpa izin yang dibina di atas rizab Jalan Taqwa, Persiaran Puchong Permai dan melanggar syarat.

MBSJ berkata penjaja di kawasan tersebut diberi masa mencukupi untuk berpindah sejak 2019.


Pengarang :