Setiausaha Kehormat Pemadam Negeri Selangor, Daing Muhammad Reduan Bachok menandatangani papan perasmian sebagai simbolik Penutupan Bulan Antidadah 2021 Anjuran Pemadam Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 Februari 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

RM1 juta laksana program cegah salah guna dadah di Selangor

SHAH ALAM, 26 FEB: Skuad Penerangan Komuniti (Speak) akan mempergiat program pencegahan dadah di 22 parlimen di Selangor, kata setiausaha kehormat Persatuan Mencegah Dadah (Pemadam) negeri.

Daing Muhammad Reduan Bachok berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menerima sumbangan berjumlah RM1 juta yang disalurkan Kerajaan Negeri pada tahun ini.

“Pemadam dan Speak perlu melihat semula program pendidikan dan pencegahan dadah, kita kena pastikan program yang dijalankan benar-benar memberi impak.

“Saya amat yakin dengan semangat dan tekad tinggi, istiqamah dan keazaman yang jitu, gerakan secara menyeluruh dan bersepadu, kita mampu menggenggam kejayaan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penutup Sambutan Bulan Antidadah Peringkat Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata komitmen Kerajaan Negeri mencegah penyalahgunaan dadah dizahirkan menerusi penubuhan Speak.

Speak ditubuhkan bawah Pemadam Selangor untuk memberi pendidikan tentang pencegahan dadah melalui inisiatif dan pendekatan baharu.

 


Pengarang :