Petugas kesihatan menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 1 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

KP kesihatan ingatkan media waspada lapor berita vaksin

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Pengamal media diingatkan agar lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam melaporkan berita berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pihak media disaran melaporkan berita yang tepat dan sahih serta mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan (KKM), terutama laporan melibatkan isu sensitif.

“Pelaporan berita yang tidak tepat apatah lagi tidak benar boleh menjejaskan kelancaran keseluruhan pelaksanaan program berkenaan.

“KKM amat berharap agar kerjasama yang baik di antara pihak media dan semua agensi yang terlibat dalam program itu dapat diteruskan bagi memastikan kejayaan program ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata media perlu membantu menyebarkan maklumat berkaitan pelaksanaan program vaksin itu secara bertanggungjawab kerana ini melibatkan masa depan rakyat dan negara.

Beliau berkata hal ini kerana pemberian suntikan vaksin yang sedang giat dijalankan di Malaysia dan seluruh dunia merupakan kaedah terbaik dalam usaha mengawal penularan pandemik Covid-19 buat masa ini.

Terdahulu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter rasminya menegur pemilihan tajuk berita berkenaan kematian seorang jururawat yang juga penerima suntikan vaksin Covid-19, yang dilaporkan sebuah akhbar tempatan pada Khamis.

-BERNAMA


Pengarang :