EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian, Dato’ Teng Chang Khim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kempen e-dagang Selangor catat jualan positif, lahir 52,748 usahawan

SHAH ALAM, 7 APRIL: Tiga kempen e-dagang Kerajaan Negeri berjaya mencatat jualan memberangsangkan serta melahirkan ribuan peniaga baharu, kata EXCO industri dan perdagangan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ia membabitkan kempen Selangor e-Bazar Raya 2020, Selangor e-Bazar 11.11 dan Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina pada tahun ini.

“Hasil jualan langsung bagi ketiga-tiga kempen itu ialah RM79.7 juta dengan kesan riak sebanyak RM2.003 bilion kepada ekonomi negeri.

“Lebih membanggakan, sebanyak 160,094 peniaga berjaya ditarik dengan 52,748 daripadanya adalah peniaga baharu,” katanya pada sidang media menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan CEO Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Yong Kai Ping.

Chang Khim berkata kejayaan itu membuktikan agenda ekonomi digital yang diterajui Kerajaan Negeri telah membantu peniaga menjana lebih banyak pendapatan.

Menurutnya, perniagaan dalam talian membolehkan mereka menjana perniagaan walaupun ketika pandemik Covid- 19.

“Kerajaan Selangor membuat jaminan bahawa kedua-dua komuniti perniagaan dan pengguna akan mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif serta kempen yang diperkenalkan,” katanya.


Pengarang :