Anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor memeriksa barangan keperluan asas selaras Skim Pelaksanaan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sekitar Petaling Jaya pada 27 April 2021. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENDANASIONAL

KPDNHEP Selangor periksa 1,271 premis, kesan tiga aduan naik harga

SHAH ALAM, 28 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memeriksa 1,271 premis setakat semalam bagi memantau harga barangan.

Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak tiga aduan kenaikan harga diterima sekitar Shah Alam dan Petaling Jaya, lapor Harian Metro.

Beliau menjelaskan pemantauan selaras Skim Pelaksanaan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi membendung kenaikan tidak munasabah.

“Berdasarkan jumlah aduan (yang tidak banyak), kita tahu peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya selepas meninjau Pasar Besar Jalan Othman di sini hari ini.

Muhamad Zikril Azan menambah pihaknya berpuas hati terhadap pematuhan tinggi peniaga dalam menetapkan harga dan berharap ia berterusan bagi manfaat pengguna.

Beliau turut meminta orang ramai memberi maklumat melalui semua saluran aduan KPDNHEP dengan menyertakan butiran lengkap jika mengesan kenaikan harga melampau.

“Kita harap semua pihak termasuk peniaga dan pengguna memainkan peranan masing-masing agar kita dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung salah laku etika oleh peniaga,” katanya.

Saluran aduan seperti berikut:

1. Portal: e-aduan.kpdnhep
2. Talian: 1-800-886-800
3. E-mel: [email protected]
4. Aplikadi Ez ADU KPDNHEP
5. Talian Pusat Arahan Penguatkuasaan: 03-8882 6088/6245
6. WhatsApp: 0192794317

 


Pengarang :