Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mendengar taklimat mengenai teknologi dron ketika majlis menandatangani MoU dengan Aerodyne Group di Cyberjaya pada 13 April 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMASELANGOR

Selangor, Aerodyne jalin kerjasama lahirkan pakar teknologi dron

SHAH ALAM, 14 APRIL: Kerjasama antara Kerajaan Selangor dengan syarikat dron terkenal, Aerodyne Group mampu melahirkan pakar teknologi dron terutama dalam bidang pertanian.

Dato’ Menteri Besar berkata syarikat itu melatih pelajar Pusat Kecemerlangan (COE) sekali gus membuka lembaran baharu sektor pembangunan sumber manusia negeri ini.

Pusat itu dibangunkan oleh Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC).

“Dengan lahirnya ‘pilot’ dron dan pakar mekanik akan membuka peluang pekerjaan baharu dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing khususnya dalam bidang pertanian.

“Semoga penubuhan COE, teknologi dron di STDC yang merupakan yang pertama di Malaysia ini bakal membuka lembaran baharu bagi industri aeroangkasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) berkenaan di Cyberjaya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada 50 pelajar serta 20 pengajar Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) yang berjaya menamatkan latihan pembangunan teknologi dron.

Pada 30 Oktober ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021, Amirudin memaklumkan kerjasama perjanjian usaha sama dengan industri antarabangsa akan dibentuk bagi memastikan bidang latihan memenuhi piawaian.


Pengarang :