Botol berlabel ‘vaksin AstraZeneca Covid-19’ dan jarum suntikan dilihat di hadapan logo AstraZeneca yang dipapar dalam ilustrasi diambil pada 10 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

Daftar vaksin AstraZeneca untuk bawah 60 tahun bermula esok

SHAH ALAM, 25 MEI: Slot janji temu pendaftaran vaksin AstraZeneca pusingan kedua untuk individu bawah 60 tahun akan bermula jam 12 tengah hari esok.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata keutamaan diberi kepada mereka di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang, Kuching dan Miri, Sarawak, lapor Harian Metro.

“Kita akan beri keutamaan kepada warga emas hari ini dan esok dan beri keutamaan pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui janji temu pada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) biasa.

“Bagi mempercepatkan slot janji temu pusingan kedua vaksin AstraZeneca, kita akan buka esok untuk orang ramai,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 1,261,600 dos diperuntukkan untuk pusingan kedua PPVAZ berikutan penghantaran vaksin pada 21 Mei lalu dan satu lagi dijadualkan hujung bulan ini.

“Kemaskini terbaru yang diperoleh pada jam 12 tengah malam tadi menunjukkan, daripada jumlah keseluruhan itu sebanyak 228,347 slot berjaya ditempah di lima negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Sarawak.

“Sistem tempahan ini masih lagi dibuka dan akan terus menerima pendaftaran,” katanya.


Pengarang :