Rakaman gambar yang menunjukkan suasana di Lebuhraya Persekutuan pada 31 Mei 2021, sehari sebelum pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (kiri) yang masih kelihatan sibuk dan selepas pelaksanaan sekatan tersebut (kanan) yang menunjukkan pengurangan penggunaan jalan raya sehingga 70 peratus pada 1 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

11 ditahan, 781 kompaun dikeluar pada hari pertama PKP penuh

BALAKONG, 2 JUN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 781 kompaun dan menahan 11 individu atas pelbagai kesalahan pada hari pertama pelaksanaan sekatan pergerakan penuh di seluruh negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata lebih 13,000 pemeriksaan dilaksanakan PDRM semalam bagi memastikan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan sekatan tersebut termasuk oleh pemain industri.

“Jumlah kompaun yang agak tinggi ini menunjukkan masih ramai yang tidak mematuhi SOP ditetapkan. Kita mahu semua pihak main peranan untuk putuskan rantaian Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas melakukan pemantauan pematuhan SOP di tiga kilang di sini hari ini bersama Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Abdul Aziz.

Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Mengenai Pengurusan Covid-19 pada Jumaat lepas memutuskan untuk melaksanakan sekatan pergerakan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula semalam.

Hamzah berkata Pasukan Pemantauan Pematuhan SOP akan melaksanakan lebih banyak pemeriksaan mengejut di lokasi di seluruh negara bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan.

“Pemeriksaan mengejut akan dilaksanakan setiap hari di seluruh negara dan sekiranya masih ramai yang ingkar, bilangan anggota Pasukan Pemantaun Pematuhan SOP akan ditambah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :