Proses baik pulih rumah yang rosak akibat ribut di kampung terlibat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru diteruskan pada 20 Jun 2021. Foto Facebook Pusat Khidmat Rakyat DUN Meru
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Baik pulih rumah rosak dilanda ribut lancar, dua siap sepenuhnya

SHAH ALAM, 20 JUN: Sebanyak enam rumah di Meru yang mengalami kerosakan akibat ribut pada Khamis akan dibaiki secepat mungkin secara berperingkat.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pihaknya mengutamakan proses baik pulih di kediaman rosak teruk bagi menjamin keselamatan penghuninya.

“Setakat ini dua rumah siap sepenuhnya sementara urusan pembaikan yang lain sedang dijalankan. Kita melantik tukang rumah sekitar kawasan ini supaya kerja dapat siap secepat mungkin.

“Hujan lebat dan angin petang pada Khamis itu menyebabkan 50 kediaman terkesan, namun 20 daripadanya perlu dibantu sama ada baik pulih atau wang ringgit,” kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata bantuan bencana Kerajaan Negeri akan disalurkan kepada semua mangsa dalam masa terdekat.

“Mangsa turut menerima sumbangan dari Lembaga Zakat Selangor serta Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi meringan beban mereka,” katanya.

Khamis lalu, rumah sekitar Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau mengalami kerosakan termasuk bumbung tercabut selain dihempap pokok.

Bagaimanapun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.


Pengarang :