Pengurusan jenazah maut akibat Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Covid-19: 15 jemaah masjid meninggal dunia dalam dua minggu

SHAH ALAM, 13 JUN: Seramai 15 jemaah masjid di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah meninggal dunia dalam tempoh dua minggu akibat jangkitan Covid-19.

EXCO Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata kematian berlaku selepas berlaku penularan wabak dalam kalangan jemaah pada Mei lalu, lapor Berita Harian.

“Ya hingga hari ini sudah 15 orang meninggal dunia, maklumat ini saya perolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

“Virus ini merebak sejak tercetusnya kluster di Taman Mahsuri yang turut dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 18 Mei sehingga 31 Mei lalu,” katanya.

Pada 18 Mei, sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah Jitra, Kedah dikenakan PKPD selama 14 hari.

Ia membabitkan Taman Mahsuri 2A, Taman Mahsuri 2B, Taman Mahsuri 2C, Pusat Perniagaan Bandar Barat, Kampung Paya Kerchut, Taman Tunku Anum, Kampung Lubuk Kawah, Taman Desa Tanjung, Taman Desa Darul Aman, mukim Naga.


Pengarang :