Petugas kesihatan menunjukkan vaksin yang telah disukat sebelum disuntik kepada penerima dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Dusun Tua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Evo Mall Bandar Baru Bangi, Kajang pada 16 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lengkap dos vaksin, buruh binaan teruja boleh kerja semula

AMPANG, 23 OGOS: Seorang buruh binaan dari Jawa Timur, Indonesia teruja untuk kembali bekerja selepas lengkap menerima dos vaksin semalam.

Muhammad Fawaid, 27, yang menerima suntikan melalui Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti tidak sabar meneruskan perkhidmatan setelah dua bulan hilang punca pendapatan.

“Sebelum ini saya kerja seperti biasa tetapi terpaksa dihentikan sementara kerana tidak dibenarkan memasuki kawasan perumahan sekiranya belum menerima dua dos vaksin atas arahan majikan.

Muhammad Fawaid (kanan) dan isteri Dzurrotun Matin

“Alhamdulillah, sekarang rasa lega dan selamat untuk bekerja. Majikan memang menunggu saya lengkap dua dos memandangkan tiga pekerja yang lain sudah berbuat demikian,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin Dewan Serbaguna MPAJ AU5 di sini.

Dia yang menetap di Malaysia sejak tahun lalu ditemani isteri Dzurrotun Matin, 25, yang turut menerima suntikan kedua bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Muhamad yang baharu menimang cahaya mata perempuan lima bulan lalu menghargai komitmen Kerajaan Selangor menyediakan inisiatif berkenaan termasuk kepada warga asing.

Katanya, dia dan isteri juga hanya menunggu sehari bagi mengetahui status kelayakan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

“Kami pernah daftar di MySejahtera dua bulan lepas tetapi sampai sekarang belum dapat panggilan sehingga dimaklumkan mengenai program ini dan segera memohon.

“Diharap suntikan vaksin dapat melindungi kami termasuk anak yang masih kecil daripada terkena jangkitan Covid-19 dan keadaan pulih seperti sedia kala,” katanya yang menetap di Ukay Perdana.

 


Pengarang :