Selangorkini
Penduduk menggunakan sampan untuk menyusuri jalan yang dinaiki air susulan kejadian ban pecah dan hujan lebat ketika tinjauan di sekitar Jalan Alor Pongsu-Selama dan Kampung Parit Simpang 5 pada 22 Ogos 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Perak kekal 241 orang

IPOH, 25 OGOS: Mangsa banjir di Perak masih kekal seperti petang semalam dengan 241 orang daripada 66 keluarga yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di dua daerah pagi ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata jumlah mangsa banjir di daerah Kerian iaitu di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak masih kekal seramai 111 orang daripada 26 keluarga.

“Mangsa banjir di PPS SK Alor Pongsu juga kekal 60 orang daripada 17 keluarga seperti petang semalam. Mangsa banjir di PPS SK Matang di daerah Larut, Matang dan Selama juga kekal 70 orang daripada 23 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, prihatin dengan nasib mangsa banjir dan petugas barisan hadapan termasuk media, seorang peniaga makanan Mohamed Fareed Mohamed Nainar, 46,  menyumbangkan hidangan mi goreng mamak di PPS Alor Pongsu.

Mohamed Fareed berkata usahanya itu bagi meringankan beban mangsa banjir, selain menukar selera mangsa yang berkampung di PPS terbabit sejak Jumaat lepas.

“Saya mengeluarkan modal sebanyak RM400 untuk menyediakan lebih 100 bungkusan mi goreng mamak. Saya ikhlas untuk membantu mereka dan berharap sumbangan kecil saya ini mendapat keberkatan dari Allah SWT bagi membantu mangsa banjir dan petugas barisan hadapan,” katanya yang berniaga di Jalan Harmoni, Alor Pongsu.

Menurutnya, sumbangan itu juga kerana mahu menunaikan nazar kejayaan anaknya Nur Faliha, 18 yang memperoleh 9A dalam periksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lepas.

— BERNAMA

 


Pengarang :