Petugas kesihatan membantu menolak kerusi roda warga emas yang selesai melakukan penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang pada 2 Ogos 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Negeri lain disaran berganding bahu bantu KKM tangani Covid-19

SHAH ALAM, 24 OGOS: Setiap negeri harus berganding bahu membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani wabak Covid-19.

Timbalan speaker Dewan Negeri Selangor berkata negeri lain perlu mencontohi Selangor yang meminjamkan vaksin kepada negeri yang kekurangan bekalan pelalian tersebut.

Menurut Hasnul Baharuddin negeri lain juga boleh melakukan perkara sama dan ia tidak semestinya berbentuk kewangan sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing.

“Setiap negeri harus berganding bahu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam menangani Covid-19. Jika kita tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak, mungkin boleh bantu aspek lain.

“Mungkin bantuan sukarelawan atau kemudahan lain seperti dewan. Kerajaan Selangor juga memberi bantuan itu (dewan) dan kita tidak mengenakan sebarang caj,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rancangan Bual Bicara yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam ini.

Pada 19 Ogos, Dato’ Menteri Besar mengumumkan untuk meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dalam sidang media secara maya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang mengalami peningkatan kes tinggi dan mendadak termasuk kurang bekalan pelalian tersebut.


Pengarang :