Selangorkini
Aksi Pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang acara keirin pada saingan separuh akhir Olimpik Tokyo di Izu Velodrom, Shizuoka, di sini, hari ini. Azizulhasni, 33, layak ke akhir acara keirin lelaki. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Olimpik Tokyo: Azizulhasni bawa pulang pingat perak untuk Malaysia

TOKYO, 8 OGOS: Hasrat pelumba basikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang untuk merangkul pingat emas pertama negara di Olimpik berkecai apabila beliau hanya mampu meraih pingat perak dalam acara keirin lelaki di Izu Veldorome di Shizuoka, di sini hari ini.

Dalam saingan peringkat akhir yang penuh dramatik, penyandang juara Jason Kenny dari Britain mempamerkan kayuhan luar biasa sejak di peringkat awal lagi untuk terus menguasai perlumbaan sehingga ke akhir bagi mengekalkan kejuaraannya.

Mohd Azizulhasni, 33, melintasi garis penamat untuk pingat perak, sekali gus meleburkan harapannya memenangi pingat emas Olimpik pertama bagi Malaysia, manakala pelumba Belanda Harrie Lavreysen yang merangkul pingat emas dalam acara pecut lelaki, meraih pingat gangsa.

Dikenali dengan gelaran “The Pocket Rocketman” yang disandarkan harapan untuk meraih pingat emas, Mohd Azizulhasni memenangi pingat Olimpik pertamanya pada Olimpik Rio 2016 dengan pingat gangsa dalam acara keirin, selepas gagal melayakkan ke peringkat akhir Olimpik Beijing 2008, dan menduduki tempat keenam dalam Olimpik London 2012.

Kejayaan Kenny menyaksikan dominasi Britain dalam acara keirin lelaki berterusan sejak Olimpik Beijing 2008 lagi.

Mohd Azizulhasni merupakan salah seorang daripada enam pelumba yang beraksi di peringkat akhir hari ini, selepas beliau mengharungi saingan peringkat suku akhir pada sebelah paginya, dan beliau menjadi satu-satunya pelumba dari Asia yang mara ke peringkat akhir acara keirin.

Pelumba yang berpengkalan di Melbourne itu memulakan kempennya di Tokyo dengan penuh bergaya apabila menduduki tempat kedua dalam Saringan Tiga suku akhir, dan memenangi Saringan Dua peringkat separuh akhir sebelum mara ke peringkat akhir.

Walaupun pingat perak, Mohd Azizulhasni tetap merupakan pelumba basikal trek terhebat negara, menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang memenangi pingat Olimpik dalam acara itu.

Pingat perak yang diraihnya itu merupakan pingat kedua Malaysia selepas pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki badminton.

Sementara itu Kenny, juara keirin dan pecut di Olimpik Rio 2016 kini berjaya mengumpul tujuh pingat emas Olimpik keseluruhannya, dan memecahkan rekod enam pingat emas yang pernah diraih seorang lagi pelumba basikal trek legenda Britain Chris Hoy.

Pelumba berumur 33 tahun itu turut membantu Britain memenangi pingat perak dalam acara pecut berpasukan lelaki bersama dengan Ryan Owens dan Jack Carlin, yang meraih pingat gangsa dalam acara pecut lelaki.

Terdahulu seorang lagi pelumba Malaysia Muhammad Shah Firdaus Sahrom tidak berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas menduduki tempat terakhir dalam Saringan Dua di peringkat suku akhir.

Pelumba berumur 25 tahun itu mengalami kecederaan selepas terlibat dalam kemalangan dengan pelumba Britain Jack Carlin dalam Saringan Dua pusingan pertama, yang menyaksikan beliau dibawa untuk mendapatkan rawatan di Juntendo University Shizuoka Hospital.

– BERNAMA


Pengarang :