Kerajaan Selangor mengumumkan SISM40 membabitkan kerjasama MBI dan Telekom Malaysia (TM) selepas menyedari kesulitan dihadapi rakyat negeri ini dalam mendepani cabaran Covid-19. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Skim internet Selangor tawar capaian internet laju, harga patut

SHAH ALAM, 14 OGOS: Skim Internet Selangor Kategori M40 (SISM40) menawarkan capaian internet lebih laju pada kadar harga berpatutan, kata penyelaras program.

Ahmad Aizat Abdul Rahman berkata jaminan kelajuan itu bukan hanya di kawasan bandar sebaliknya meliputi lokasi luar bandar seperti Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Kita bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk menjayakan skim ini. Kita pilih TM kerana data mendapati 90 peratus kawasan negeri ini mendapat liputan jaringan syarikat itu.

“Internet menjadi keperluan penting sejak Covid-19 melanda, jadi skim ini dapat membantu rakyat termasuk golongan berpendapatan pertengahan (M40) dengan tawaran harga berpatutan ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara bertajuk `Data Internet Untuk Warga Selangor’ yang disiarkan di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Menurut Ahmad Aizat sejak ditawarkan sebulan lalu, subsidi selama setahun meliputi lapan pakej iaitu keluarga, bujang dan asas menerima 132 permohonan setakat ini.

“Baru-baru ini kita adakan taklimat kepada 56 DUN melalui penyelaras serta Ahli Dewan Negeri untuk terangkan lebih lanjut berkenaan skim ini.

“Kita yakin langkah ini mampu menggalakkan masyarakat sertainya. Dengan pakej berpatutan, orang awam boleh mendapat rangkaian internet lebih laju sekali gus memudahkan mereka,” katanya.

SISM40 menawarkan subsidi yuran langganan pakej dari RM10 hingga RM30 sebulan selama setahun dengan kelajuan dari 30 hingga 300 megahit sesaat (Mbps).

Bertujuan membantu golongan M40, inisiatif tersebut dijayakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan kerjasama TM.

SISM40 antara bantuan dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagi mengatasi kesulitan penduduk di negeri ini ketika pandemik.


Pengarang :