BERITA UTAMAPENDAPATPILIHAN MINGGUANRENCANA

Hari Malaysia: Muafakat kukuh demokrasi – MB

Berikut perutusan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena sambutan Hari Malaysia ke-58 hari ini:

Selamat Hari Malaysia ke-58 saya ucapakan kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Selangor.

Kali terakhir tarikh 16 September dapat disambut secara meriah adalah dua tahun lalu, sebelum kita mula bergelut dengan penularan wabak Covid-19 pada akhir 2019.

Kini, masyarakat di seluruh dunia menghampiri kitaran dua tahun menghadapi wabak ini yang telah menjangkiti lebih 219 juta orang dan meragut sekurang-kurangnya 4.55 juta nyawa di merata tempat.

Namun, beza tahun ini dan tahun yang lalu adalah vaksin yang telah dan sedang melindungi warga seluruh dunia, termasuk Malaysia dan di Selangor.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 7,932,017 dos vaksin yang telah disuntik di Selangor sekali gus melindungi 3,813,016 dengan dua dos vaksin, manakala sekumpulan lagi warga Selangor dalam proses untuk menerima dos kedua.

Oleh demikian, kita melihat beberapa kelonggaran diberi apabila Selangor beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara. Fasa ini, warga yang telah menerima dua dos dapat merentas daerah, menjamu selera di kedai makan serta mengunjungi taman awam dengan syarat tatacara operasi piawai dipatuhi.

Saya percaya beberapa kelonggaran ini akan memberi sedikit nafas lega kepada semua yang terpaksa duduk di rumah sejak Mei lalu.

Keadaan ini sudah pasti akan menggembirakan ramai pihak serta memberi kita ruang untuk mendalami makna dan kepentingan Hari Malaysia.

Saya melihat situasi negara pada masa kini hampir sama dengan prinsip yang mendorong perubahan pada 1963.

Pada ketika itu, semangat nasionalisme yang membara serta pengertian tentang pentingnya Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak, dan Singapura berganding bahu membentuk negara Malaysia untuk sama-sama menjaga kepentingan masyarakat yang dinamik amat ketara.

Akhiri dominasi

Setelah dibelenggu insiden hitam Februari 2020 yang diaturkan beberapa pihak untuk kepentingan tertentu, kompas politik dapat mula kembali ke agenda pembinaan negara ataupun nation building bagi kepentingan rakyat.

Permuafakatan yang diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PAKATAN) dan disetujui oleh perdana menteri, terutamanya dari segi beberapa aspek transformasi yang mengangkat semula martabat Parlimen sebagai medan utama 222 orang yang mewakili rakyat seluruh negara dapat direalisasikan.

Jika dahulunya Parlimen seolah-olah di bawah telunjuk Sang Penguasa beroerientasi zero sum game yang hanya menguntungkan si pemenang, kini Parlimen Malaysia boleh berfungsi dengan lebih berkesan dan berwibawa sekaligus mengakhiri dominasi satu pihak dan digantikan kerjasama dan gabungan pelbagai parti.

Ini merupakan iktibar yang harus diambil oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini yang bertindak menganiaya dan membuli pembangkang.

Namun, permuafakatan yang terhasil bukan suatu gencatan politik dan tidak wajar dilihat begitu. Fungsi dan peranan blok pembangkang akan ditambah bukan sahaja melalui aspek semak dan imbang ataupun check and balance tetapi menganggotai proses transformasi sistem supaya aspek-aspek asas kepentingan rakyat dijamin.

Ini sudahpun kita jayakan di Selangor sejak 2008 lagi apabila Pakatan Rakyat ketika itu mengambil alih pentadbiran. Ketua pembangkang diberi beberapa wewenang berbentuk keistimewaan tertentu selain dilantik pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam, suatu perubahan yang dimulakan sejak 2014.

Selangor sekali lagi mengorak langkah dengan memberi peruntukan khas kepada DUN pembangkang serta menjemput ketua pembangkang ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Selangor (Pengurusan Pandemik) dalam usaha bersama-sama mendepani Covid-19.

Selain itu, beberapa inisiatif membantu rakyat yang berjaya dibidankan oleh Pakatan Harapan kini telah diangkat ke peringkat persekutuan.Waima demikian, beberapa lagi aspek kerjasama dan kesaksamaan harus dilakukan supaya prinsip federalisme dapat benar-benar direalisasikan.

Ini termasuk pengagihan peruntukan sejajar dengan peranan, fungsi, kedudukan serta sumbangan sesuatu negeri kepada ekonomi negara yang harus dilakukan dalam masa terdekat bagi memastikan pentadbiran negeri terus mampan.

Inilah yang wajar menjadi teras dan fokus pimpinan negara sejajar dengan prinsip Hari Malaysia kali ini.

Kepada seluruh warga Selangor, pada detik kita menginsafi keperluan semua hidup dengan Covid-19 secara endemik, saya berharap kita dapat bersama-sama kekal bertanggungjawab, menjaga kesihatan masing-masing dan menjadi warga contoh kepada negeri dan negara lain.

Selamat Hari Malaysia ke-58 kepada anda semua.

 

 


Pengarang :