Petugas kesihatan melakukan simulasi semula pengambilan suntikan dos vaksin Sinovac yang telah digunakan bagi rakaman ilustrasi di Seremban pada 14 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KKM ubah strategi suntik vaksin kepada semua golongan

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan mengubah strategi untuk menyuntik vaksin Covid-19 kepada seramai mungkin penduduk termasuk kanak-kanak dan bukan lagi berdasarkan imuniti kelompok.

Menteri kesihatan berkata varian Delta dengan kadar kebolehjangkitan (RT) yang melebihi enam mengubah tahap keberkesanan vaksin dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menyatakan tiada negara telah mencapai imuniti kelompok.

Menurut Khairy Jamaluddin, susulan itu Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluaskan capaian suntikan vaksin yang kini diberi kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun serta menilai data vaksin kepada kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Saya sudah mengadakan pertemuan dengan sebuah syarikat pengeluar yang telah mengeluarkan data ujian klinikal vaksin terhadap kumpulan kanak-kanak berkaitan.

“Kita sedang berunding untuk mendapat perolehan itu,” katanya pada sidang media hari ini.

Sementara itu, Khairy mengingatkan pusat pemberian vaksin (PPV), pejabat kesihatan daerah dan pejabat pendidikan daerah mengikut ketetapan bagi program vaksin kepada remaja.

“Tidak ada arahan dan SOP (tatacara operasi piawai) berbeza diberikan kepada ibu bapa dalam penetapan kaedah pemberian vaksin untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Saya menerima laporan ada pihak memberitahu ibu bapa pergi saja ke PPV (untuk terima suntikan), tolonglah kita mahu ia berjalan lancar,” katanya yang memberi jaminan bekalan vaksin mencukupi untuk 3.2 juta remaja.


Pengarang :