Suasana dalam transit aliran ringan (LRT) yang dipenuhi orang ramai pada hari pertama peralihan fasa kedua Pelan Pemulihan Negara sekitar Lembah Klang selepas kerajaan mengumumkan kelonggaran itu ketika tinjauan pada 10 September 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Putrajaya diminta tambah baik pengangkutan awam luar bandar

SHAH ALAM, 3O SEPT: Putrajaya diminta meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam luar bandar dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), gesa ahli Parlimen Hulu Selangor.

June Leow Hsiad Hui berkata kualiti kemudahan itu yang tidak memuaskan menyebabkan ramai penduduk menggunakan kenderaan sendiri untuk berulang alik ke tempat kerja di bandar.

Beliau menjelaskan faktor lain berpunca daripada kekurangan perjalanan dan sambungan laluan terhad.

“Keadaan berbeza terutama di Kuala Lumpur yang memiliki akses pengangkutan awam, sudah tiba masanya kerajaan memperbaiki kemudahan itu di luar bandar seperti Hulu Selangor dalam RMK12.

“Tingkatkan kecekapan pengangkutan awam supaya budaya penggunaan pengangkutan awam dapat disemai dalam kalangan penduduk luar bandar,” katanya dalam perbahasan RMK12 di Parlimen hari ini.

June Leow turut membangkitkan kebimbangan ibu bapa berhubung keselamatan anak remaja mereka dalam program suntikan vaksin yang dimulakan sejak 20 September.

“Mereka takut menandatangani borang kebenaran kerana ada dinyatakan risiko pengambilan vaksin ditanggung ibu bapa,” katanya.


Pengarang :