Pasukan Persatuan Amal Valley mengeluarkan mayat pesakit Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang pada 23 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor benar 10 waris ke pengebumian jenazah pesakit Covid-19

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kerajaan Selangor membenarkan seramai 10 waris memasuki tanah perkuburan dan berada di zon menunggu untuk proses pengebumian jenazah Covid-19 bukan secara berkumpulan.

Kebenaran itu tertakluk bagi tanah perkuburan Islam seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kariah masjid semasa tempoh Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Bagaimanapun, Exco Hal Ehwal Agama Islam berkata hanya dua waris sahaja dibenarkan memasuki tanah perkuburan dan berada di zon menunggu untuk proses pengebumian secara berkumpulan.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan pengebumian kariah seliaan masjid pula ditetapkan di beberapa tanah perkuburan berpusat dan proses pengebumian dilaksanakan oleh petugas kubur atau sukarelawan pertubuhan bukan Islam kerajaan (NGOI) yang mendapat tauliah pihaknya.

“Bagi pengebumian di tanah perkuburan bawah PBT, ia akan dilaksanakan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Facebook @Zawawi Mughni hari ini.

Zawawi berkata seramai 20 waris dan lima ahli jawatankuasa (AJK) masjid dibenarkan hadir untuk pengebumian kematian biasa bagi bacaan talkin serta tahlil selepas jenazah dikebumikan di tanah perkuburan kariah seliaan masjid.

“Untuk aktiviti menziarahi kubur keluarga atau saudara, tidak melebihi lima waris pada satu-satu masa dan diterhadkan selama 30 minit sahaja,” katanya.

Menurut Zawawi, untuk pengebumian kematian biasa di tanah perkuburan bersepadu seliaan PBT, kehadiran hanya 10 waris dan dibenarkan membawa imam serta pembantunya untuk bacaan talkin dan tahlil.

“Menziarahi kubur keluarga atau saudara pula tidak melebihi dua orang waris pada satu-satu masa dan diterhadkan selama 20 minit sahaja,” katanya.

Jelasnya lagi, antara syarat yang perlu dipatuhi bagi mereka yang menziarahi tanah perkuburan berkenaan ialah perlu lengkap dua dos vaksin serta melakukan aktiviti ziarah pada waktu dan masa yang dibenarkan.

-BERNAMA

 


Pengarang :