Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14, di Parlimen pada 28 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Syed Saddiq: Cadang kerajaan lulus industri hemp untuk perubatan

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

SHAH ALAM, 29 SEPT: Kerajaan dicadang menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji serta memberi kelulusan kepada industri hemp dan marijuana perubatan.

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berharap kerajaan dapat membentangkan satu kertas kerja yang telus dipacu data dan sains berkenaan baik dan buruk kelulusan industri itu.

Katanya sudah tiba masa bagi Malaysia melaksanakan usaha itu memandangkan industri terbabit boleh membantu sebagai kaedah rawatan alternatif kepada masalah kesihatan mental dan sebagainya.

“Saya cadangkan kerajaan adakan perbincangan, penelitian khusus untuk kita lihat kelulusan industri hemp dan marijuana perubatan

“Kerana banyak anak muda di luar sana mengalami masalah kesihatan mental, penyakit bipolar yang boleh dibantu sebagai rawatan alternatif seperti dilakukan negara lain,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Saddiq berkata kelulusan industri hemp atau marijuana perubatan sudah diberikan lebih 40 negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Kanada, Argentina, Denmark dan terbaharu Thailand.

“Nilai pasaran industri itu ketika ini lebih kurang RM60 bilion dan dianggarkan dalam empat tahun lagi dijangka cecah RM400 bilion. Kita tidak mahu Malaysia terkebelakang, ketinggalan,” katanya.


Pengarang :