Poster mengenai jualan sayur RM2 di Selangor Fruit Valley (SFV) mulai esok.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Fruit Valley jual sayur serendah RM2 mulai esok

SHAH ALAM, 15 OKT: Mulai esok Selangor Fruit Valley (SFV) akan menjual hasil sayur-sayuran kepada orang ramai dengan harga serendah RM2.

Pengurus pemasarannya berkata sayur-sayuran yang ditawarkan itu lebih segar berbanding pasaran kerana diambil terus dari ladang SFV.

“Sebelum ini SFV hanya menjual buah-buahan, namun kali ini ada pertambahan baru dengan jualan sayur-sayuran berharga RM2 bagi setiap pek.

“Jualan ini dilakukan setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad bermula jam 9 pagi hingga 6 petang,” kata Nor Rashidah Mohamed Raihan ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya antara sayur-sayuran yang dijual ialah bendi, timun, terung, cili, halia, kobis, lobak, limau kasturi, kacang panjang dan peria.

SFV dibuka semula 2 Oktober lepas selepas ditutup sementara selama seminggu mulai 25 September bagi penyelenggaraan dan kemas kini tatacara operasi piawai (SOP).

Harga tiket yang ditawarkan adalah RM15 bagi dewasa, RM10 untuk kanak-kanak dan warga emas manakala warga asing tiket dewasa berharga RM30 dan kanak-kanak RM25.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi talian 016-6880792 selain e-mel [email protected] atau [email protected].

SFV melibatkan kawasan seluas hampir 1,000 hektar mempunyai 20 jenis buah-buahan antaranya belimbing, durian, mangga, jambu batu, nangka, pulasan dan anggur.


Pengarang :