Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap secara maya ketika Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada 14 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Sidang perniagaan 2021 dijalan secara hibrid, tumpu sektor perubatan

SHAH ALAM, 12 OKT: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 akan diadakan 18 hingga 21 November ini secara hibrid, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan secara maya di Selangor Business Hub menumpukan isu vaksinasi, penjagaan warga emas dan kesihatan digital, lapor Astro Awani.

Beliau berkata Selangor International Expo (Medic) menjadi acara utama yang menghimpunkan pembekal peralatan perubatan dan diagnostik, penjagaan kesihatan, farmasi, hospital yang mempromosi dan mempamerkan perkhidmatan kesihatan terkini.

Tambahnya, Selangor Industrial Park Expo (SPARK) 2021 juga ditampilkan kali pertama yang menjadi pentas pertemuan pemaju taman perindustrian terancang yang bakal menyaksikan pelancaran Buku Garis Panduan Standard Taman Perindustrian Terurus (MIP) Selangor.

Selain itu, katanya, empat acara komponen utama yang lain turut diadakan iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (F&B), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor (SRIE).

Selangor menjadi negeri pertama menganjur dan memimpin SIBS 2020 secara maya yang mengumpulkan pemain industri utama pada 14 hingga 17 Oktober tahun lalu.

Amirudin berkata persidangan tersebut menjadi platform pemain industri utama tempatan dan antarabangsa berkongsi idea, terutama untuk menjalankan perniagaan dalam norma baharu.


Pengarang :