Selangorkini
Sukarelawan Selangor (SERVE) bergotong-royong mengangkat barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa bencana fenomena kepala air di Kampung Titi Teras, Yan, Kedah pada 1 September 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Sukarelawan negeri impikan misi bantuan ke Palestin

SHAH ALAM, 23 OKT: Misi bantuan kemanusiaan ke Palestin antara impian jangka panjang Sukarelawan Selangor (SERVE) sebagai tanda solidariti terhadap rakyat negara itu.

Menyifatkannya sebagai futuristik, EXCO jaringan kemasyarakatan dan kesukarelawannya berharap pasukan itu diberi kesempatan untuk berbakti sekali gus membawa imej negeri.

“Namun, perkara utama ketika ini ialah membantu rakyat Selangor dahulu sebelum masyarakat luar,” kata Danish Hairudin pada bual bicara Kenali SERVE: Sukarelawan Selangor di Facebook Media Selangor malam tadi.

Beliau berkata banyak pengalaman ditimba anggota SERVE dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun ini selain mengharapkan kerjasama berterusan dalam apa jua aktiviti dijalankan.

“Tahun ini permulaan buat kami dan sudah tentu pelbagai cabaran akan ditempuh. Oleh sebab itu, kita perlu terus belajar dan konsisten bantu masyarakat,” katanya.

Pada 29 Ogos, hampir 50 ahli SERVE digerakkan ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa bencana kepala air selaras tema Hari Kemerdekaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

Selain misi berkenaan, mereka turut mengagihkan bantuan makanan kepada mangsa tanah runtuh di Kemensah Height dan banjir kilat di Selangor selain berkhidmat di pusat pemberian vaksin.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor dan terbuka kepada individu 36 tahun ke atas.

 


Pengarang :