Lau Weng San melihat proses pendaftaran kad SIM oleh kakitangan Celcom di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Banting pada 26 Oktober 2021. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Wakil rakyat agih kad SIM percuma kepada 77 penduduk Banting

BANTING, 26 OKT: Seramai 77 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Banting menerima kad modul pengenalan pelanggan (SIM) percuma dilengkapi data internet selama 12 bulan.

Kad SIM dibiayai sepenuhnya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI itu diagih oleh Celcom dan dilengkapi data internet berkapasiti 15 gigabit (GB) sebulan.

Wakil Rakyat Banting Lau Weng San berkata penduduk yang menerima manfaat itu terdiri daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), pelajar, peniaga dan ibu tunggal.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kita sering menerima keluhan daripada penduduk berhubung kekurangan data internet.

“Oleh demikian kita berharap penerima dapat menggunakan kemudahan disediakan Kerajaan Negeri sebaik mungkin terutama untuk pendidikan anak-anak,” katanya ditemui di Pusat Khidmat Masyarakat hari ini.

Pada 4 Ogos, Dato’ Menteri Besar memaklumkan seramai 70,000 rakyat negeri ini bakal menikmati kad SIM dilengkapi data internet percuma selama 12 bulan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu menyasar pelajar Program Tuisyen Rakyat Selangor, peminjam Yayasan Selangor, mahasiswa Kolej Universiti Islam Selangor dan Universiti Selangor.

Turut menerima manfaat ialah pelajar Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor, peniaga dalam talian bawah e-Bazar Selangor, petani dan ibu tunggal.

Selain itu, sebanyak 200 kad SIM percuma dibekal ke setiap DUN untuk diberi kepada individu yang layak.


Pengarang :