Bapa kepada kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun maut terjatuh dari pangsapuri di Putrajaya. Md Rizal Ramdzan, 42, (kanan) berada di luar Jabatan Perubatan Forensik Hospital Putrajaya pada 26 Okt 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kanak-kanak 11 tahun maut jatuh pangsapuri, rancangan untuk cuti bertukar tragedi

PUTRAJAYA, 26 OKT: Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri di Presint 5, semalam.

Bapanya Md Rizal Ramdzan, 42, berkata beliau lima sekeluarga termasuk anak keduanya itu Keisya Nawrah, 11, pada mulanya amat teruja semalam dengan rancangan percutian ke Janda Baik di Pahang minggu ini, namun pada sebelah petang ia bertukar menjadi tragedi.

Ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Putrajaya hari ini, penjawat awam itu berkata anaknya tidak menunjukkan apa-apa perubahan sebelum kejadian.

Keisya Nawrah dilaporkan terjatuh dari tingkat tujuh pangsapuri pada sekitar pukul 6.15 petang, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada kira-kira 7 malam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A.Asmadi Abdul Aziz berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu post mortem, dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

-BERNAMA


Pengarang :