Ibu bapa membawa anak mendaftar untuk menerima suntikan pelalian Covid-19 dalam program vaksin remaja dan murid berkeperluan khas daerah Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 29 September 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Penularan Covid-19 dalam fasa berjaga-jaga – Dr Noor Hisham

SHAH ALAM, 12 NOV: Situasi penularan Covid-19 dalam negara adalah baik namun kini memasuki fasa berjaga-jaga, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata situasi itu berdasarkan kajian Real World Data yang mendapati terdapat kesan pengurangan imuniti selepas beberapa bulan lengkap vaksinasi.

Beliau berkata kajian itu juga menyatakan berlaku peningkatan kes jangkitan semula Covid-19 dalam kalangan penerima vaksin.

“Selain daripada itu kemunculan varian yang membimbangkan (VOC) juga memberi kesan di mana ia lebih mudah merebak dan mampu merebak dalam komuniti dalam tempoh yang singkat,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) dalam negara mengikut jangkaan kes harian semalam juga meningkat kepada 1.0 iaitu lima minggu selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan.

“Jika kita lihat situasi sebelum ini, trend peningkatan kes dilihat lima sehingga enam minggu selepas kebenaran rentas negeri diberikan pada 7 Disember 2020.

“Kedua-dua faktor ini menjadi peringatan awal kepada kita semua agar tindakan secara aktif perlu diambil bagi memastikan kes Covid-19 tidak meningkat semula dengan mendadak,” katanya.

Jelasnya, antara tindakan yang diambil adalah dengan mempergiatkan pemberian vaksin dos penggalak.


Pengarang :