Pekerja kontraktor Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) membersihkan dan mengalihkan pokok yang tumbang di sebuah pangsapuri di Taman Sri Muda Seksyen 25, Shah Alam pada 23 Disember 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Anwar minta tubuh suruhanjaya kaji semula pengurusan bencana

SUNGAI PETANI, 23 DIS: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya bagi meneliti semula seluruh dasar dan peranan agensi berkaitan dalam menghadapi dan menguruskan bencana di negara ini.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan persediaan dapat dilaksanakan secara tersusun dan tindakan drastik untuk membantu rakyat yang terjejas disalurkan dengan efektif.

Menurutnya, dalam kejadian banjir melibatkan beberapa negeri dan Kuala Lumpur ketika ini, penyelarasan bantuan kepada mangsa dilihat perlahan sehingga menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mereka.

“Kita boleh faham mengapa rakyat berasa begitu kecewa dengan kelemahan menangani masalah ini. Sebab itu saya katakan harus ada suruhanjaya teliti semula seluruh dasar peranan dan tindakan diambil supaya masalah sama tidak berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program pemantapan pilihan raya KEADILAN Kedah di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan tidak bersetuju dengan tindakan segelintir pihak menuding jari ke arah agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia yang didakwa lewat bertindak.

Katanya, agensi kerajaan berkenaan akan bertindak segera sekiranya arahahan cepat dan jelas diberikan kepada mereka.

-BERNAMA


Pengarang :