Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kiri) bercakap kepada penduduk dan menyerahkan sumbagan ketika meninjau keadaan selepas banjir di Taman Maznah, Klang pada 25 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor sasar kerja pembersihan, kutipan sampah selesai dua minggu

KLANG, 25 DIS: Kerajaan Negeri mensasarkan kerja pembersihan dan kutipan sampah pascabanjir dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

Dato’ Menteri Besar berkata setakat ini proses berkaitan di seluruh negeri hanya 25 peratus dan diharap dapat ditingkatkan kepada 50 peratus pada hujung minggu ini.

“Sebelum tiba di sini tadi saya dah minta Dato’ Teng Chang Kim menyelaras keseluruhan bersama DO (pegawai daerah) supaya pelarasan pascabanjir berjalan dengan lebih baik.

“Kita akan tambah aset-aset seperti lori, jengkaut dan juga jentolak supaya kita boleh keluarkan sampah secepat mungkin dalam tempoh dua minggu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Taman Maznah di sini.

Amirudin kemudian meninjau kawasan banjir dan memberi sumbangan kepada penduduk di Taman Sentosa di sini.

Setakat semalam, sebanyak 2,857 tan sampah dan sisa tinggalan banjir berjaya dibersihkan serta diangkut KDEB Waste Management (KDEBWM).

Menerusi Twitter, Amirudin memaklumkan jumlah tong sampah besar dan jentera akan ditambah bagi melancarkan pembersihan.


Pengarang :