Pasukan sukarelawan SERVE membantu mengagihkan pek makanan kepada mangsa terjejas banjir. Foto Facebook Amirudin Shari.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wakil rakyat, PBT dan sukarelawan ganding bahu bantu mangsa banjir

SHAH ALAM, 20 DIS: Wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan dan sukarelawan Selangor berganding bahu menghulur bantuan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir teruk sejak semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antara bantuan diberikan termasuk mengagihkan pek makanan dan keperluan asas ke semua pusat pemindahan (PPS) di negeri ini.

“Selain dari agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, pasukan sukarelawan Selangor Lestari by Team Selangor dan SERVE turut membantu usaha mengedarkan makanan dan keperluan asas ke semua PPS yang menempatkan mangsa banjir,” katanya di Facebook.

Wakil rakyat DUN Batu Tiga Rodziah Ismail menyerahkan pek penjagaan kebersihan diri kepada penduduk Seksyen 19 Shah Alam pada 19 Disember 2021. Foto Facebook Rodziah Ismail

Sementara itu, menerusi perkongsian wakil rakyat Batu Tiga Rodziah Ismail di Facebook semalam, beliau dilihat mengagihkan pek penjagaan kebersihan diri kepada penduduk di Seksyen 19 di sini yang pulang semula ke kediaman untuk membersihkan rumah.

“Saya menyeru kepada sukarelawan yang ingin membantu, boleh berhubung dengan Pusat Khidmat Rakyat Dun Batu Tiga di talian 014-3378764,” katanya selepas meninjau keadaan penduduk di situ.

Dato’ Teng Chang Khim pula merakam ucapan terima kasih kepada semua sukarelawan dan penderma yang membantu menjaga keperluan 3,000 mangsa di empat pusat pemindahan.

“Teruskan usaha sehingga semua mangsa selamat pulang ke rumah,” kata wakil rakyat Bandar Baru Klang itu di Facebook.


Pengarang :