Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi amanat kepada penjawat awam sempena Tahun Baharu 2022 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz pada 24 Januari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Pertahan integriti ketika bertugas, MB nasihat penjawat awam

SHAH ALAM, 24 JAN: Penjawat awam negeri ini diseru mempertahankan integriti dan bersikap profesional ketika menjalankan tugas, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan mereka juga perlu menerapkan budaya kerja fleksibel dan tahan uji dalam setiap situasi bermula dari peringkat atasan hingga bawahan.

“Kadangkala kita berada dalam keadaan tekanan dan terdesak, (namun) momentum harus dikekalkan serta bersedia untuk (kerja) fleksibel dan tahan uji.

“Ini ciri baru yang harus ditekankan di samping mempertahankan integriti dan profesional serta bagaimana untuk melayan rakyat,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata meskipun negara berdepan tempoh sukar sepanjang pandemik, namun kutipan hasil di Selangor melebihi sasaran selama dua tahun berturut-turut.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Diperketatkan (PKPD), ekonomi serta perniagaan tidak berjalan selain pelaburan sukar mendarat. Tetapi, kita mampu capai pungutan hasil melebihi sasaran.

“Jadi, untuk 2022 kita perlu hadapi dengan baik untuk melahirkan sesuatu yang lebih baik dalam diri kita,” katanya lagi.


Pengarang :