Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Azfarizal Abdul Rashid (tengah) meninjau lokasi lot tanah yang dicemari cecair berbau busuk di Jalan Taman Kinrara 4/10, Puchong pada 25 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PBT SELANGOR

MBSJ ambil langkah segera atasi pencemaran bau

SUBANG JAYA, 26 FEB: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil langkah segera menangani pencemaran bau busuk di Jalan TK 4/10, Taman Kinrara 4 di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategiknya berkata sebaik menerima laporan kelmarin, penyelesaian segera telah dilakukan dengan melantik syarikat Worldwide Holding Sdn Bhd.

“Syarikat berkenaan menjalankan kerja mengenal pasti punca air di dalam tanah dan menjalankan proses mengeluar dan merawat cecair tersebut berdasarkan pengalaman mereka.

“Proses kerja telah dijalankan kelmarin melibatkan kerja mengorek beberapa perigi bagi menakung cecair di dalam tanah dan seterusnya menyedut cecair tercemar berkenaan keluar menggunakan lori tangki sebelum ia dilupuskan,” kata Azfarizal Abdul Rashid.

Beliau berkata demikian kepada Selangorkini selepas mengadakan tinjauan di tapak berkenaan, petang semalam.

Azfarizal menjelaskan kerja-kerja berkenaan dijangka selesai dalam tempoh tiga minggu dengan kos operasi itu ditanggung pemilik tanah.

Katanya, punca bau disebabkan berlaku aktiviti pembuangan sampah haram kerana tapak tidak digunakan dan ia dikesan sekitar dua bulan lalu.

“Tindakan kompaun telah dikenakan kepada pemilik tanah,” katanya.

 


Pengarang :