Petugas kesihatan memberi suntikan dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) Ideal Covention Center (IDCC) Shah Alam pada 27 Februari 2022. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

62.9 peratus golongan dewasa terima dos penggalak takat semalam

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Seramai 14,810,832 individu dewasa atau 62.9 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan data di laman web COVIDNOW, sejumlah 22,951,398 atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,231,225 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Bagi populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun, sebanyak 929,733 individu atau 26.2 peratus kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sebanyak 2,802,265 individu atau 90.1 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,898,437 atau 93.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Vaksinasi harian semalam menyaksikan sebanyak 97,534 dos vaksin diberikan meliputi 26,923 dos pertama, 1,389 dos kedua dan 69,222 dos penggalak, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sebanyak 67,416,313.

Sementara itu, menurut portal GitHub Kementerian Kesihatan, 115 kes kematian akibat COVID-19 direkodkan semalam dengan Johor merekodkan angka tertinggi iaitu 25 kes.

Ia diikuti Sabah dengan 24 kes, Selangor (18), masing-masing lapan kes di Kedah dan Negeri Sembilan, Perak (tujuh), enam kes masing-masing di Pahang dan Kuala Lumpur, Kelantan (empat), Pulau Pinang (tiga), masing-masing dua di Melaka dan Perlis serta satu kes direkodkan masing-masing di Sarawak dan Terengganu.

— BERNAMA

 


Pengarang :