Pasukan Serdang Angels menjulang trofi kejuaraan Liga Ragbi Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor-Kesatuan Ragbi Selangor (KRS) selepas membenam pasukan Koba Rc ketika perlawanan akhir di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 19 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAAGENSIBERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

MSN: Dana MBI bantu persatuan sukan terus aktif, tarik atlet berbakat 

SERDANG, 20 MAC: Dana bantuan sumbangan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada persatuan sukan bakal memberi ‘nafas’ kepada persatuan sukan selepas berdepan kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata sepanjang tempoh dua tahun penularan Covid-19, beberapa persatuan sukan menghadapi pelbagai kesukaran sehingga turut kehilangan atlet berbakat.

Justeru, Mohd Nizam Marjugi berkata sumbangan MBI itu dapat membantu persatuan sukan menganjurkan program kompetitif bagi menarik atlet untuk kembali aktif bersukan.

Mohd Nizam Marjugi

“Ini satu jalan atau usaha bagi memastikan sukan terus berkembang ketika menuju fasa endemik ini. Kita harap persatuan sukan terus kekal aktif.

“Dua tahun ini kita kehilangan ramai atlet yang sepatutnya boleh mewakili negeri, negara tetapi malangnya dalam tempoh itu mereka tidak dapat berlatih secara konsisten dan akhirnya kita kehilangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui menyaksikan penyerahan sumbangan RM15,000 oleh MBI kepada Kesatuan Ragbi Selangor, di padang ragbi Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, semalam.

Sumbangan itu disampaikan ketua tanggungjawab sosial korporat MBI, Ahmad Azri Zainal Nor kepada Presiden Kesatuan Ragbi Selangor, Syed Aldrin Syed Ahmad Kabeer.

Terdahulu, Ahmad Azri mengumumkan dana bantuan RM500,000 bagi membiayai pelbagai kegiatan sukan di negeri ini, termasuk di peringkat komuniti, kampung dan perumahan.

Katanya, peruntukan ini adalah dalam bentuk tajaan atau bantuan dana bagi membiayai program atau apa sahaja aktiviti berkaitan sukan.

“Kita terima semua permohonan tidak kira sama ada mereka mahu anjurkan pertandingan peringkat komuniti atau taman perumahan. Tidak kira program itu amatur atau ‘junior’ kita akan teliti semua permohonan,” katanya.


Pengarang :