Peniaga Azura Mohamad (kiri) melayan pelanggan yang berkunjung ke kedainya di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam pada 2 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Raya awal sehari, Pasar Seksyen 6 jadi tumpuan beli bahan masak

SHAH ALAM, 2 MEI: Pasar Moden Seksyen 6 di sini masih dikunjungi segelintir orang awam untuk mendapatkan keperluan memasak susulan pengumuman Aidilfitri pada Isnin.

Pegawai Eksekutif Atikah Ismail, 32, bergegas ke pasar berkenaan pagi tadi untuk mencari bahan bagi menyediakan juadah tengah hari, namun hampa berikutan bekalan habis.

“Selepas seorang kawan maklumkan di Instagram pasar ini dibuka pagi ini, saya segera datang tetapi barang sudah habis, mungkin sebab sedikit terlambat.

“Saya terpaksa cari kedai lain sebab di rumah tiada bahan untuk masak makan tengah hari. Malam tadi hanya sempat sediakan ketupat dan rendang untuk pagi raya,” katanya yang menetap di Seksyen 24 di sini.

Sementara itu, pengurus syarikat Ismail Ahmad, 54, berkata dia datang ke pasar terbabit untuk mengambil tiga batang lemang yang ditempah daripada seorang peniaga sejak minggu lepas.

Meskipun terkejut raya lebih awal, dia yang tinggal di Klang memaklumkan juadah lain sempat disediakan selepas mendengar ura-ura Hari Raya Aidilfitri disambut hari ini.

“Tiada apa yang dirisaukan sebab persiapan raya seperti lauk-pauk sudah siap awal selepas ada ura-ura mengatakan Aidilfitri jatuh pada hari ini,” katanya.

Masyarakat Islam di seluruh negara menyambut Aidilfitri hari ini selepas diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad malam tadi.

Pengisytiharan dibuat selepas aktiviti cerapan anak bulan di 29 lokasi seluruh negara, petang semalam.

 


Pengarang :